Warga Emas Sendirian Dalam Hutan Dikelilingi HUTAN BATU

Sekumpulan anggota polis yang ‘berniat’ menyerbu sebuah pondok buruk di hutan kecil berhampiran Damaisari, Wangsa Melawati, bertukar simpati apabila mendapati ia sebenarnya dihuni oleh seorang warga tua.

Dengan hanya bersarung kain pelikat, lelaki tua yang dikenali sebagai Muhammad Dris, 74, hanya mampu mengerekot di atas pangkin kayu sambil menahan lapar.

"Kami semua terperanjat melihat pakcik tua ini terbaring keseorangan menahan lapar," kata Timbalan Ketua Balai, Sarjan Jasman Aris ketika dihubungi The Rakyat Post.


Jasman berkata, mereka masuk ke hutan kecil itu dengan niat mahu menyerbu pondok buruk yang mungkin dijadikan sarang maksiat, tapi sangkaan kami meleset sama sekali.

"Tak sangka ada lagi orang yang terlalu daif sehingga terpaksa tinggal dalam keadaan serba daif di pondok buruk di dalam hutan," katanya.

Tersentuh dengan keadaan pak cik Muhammad, beberapa anggota polis terus membelikan makanan untuknya.

"Dia menangis apabila melihat jumlah makanan yang dibelikan. Apabila melihat airmatanya jatuh, kami juga jadi sedih.

Menurut Jasman lagi, pak cik Muhammad tinggal di pondok buruk itu sejak 30 tahun lalu, ketika kawasan itu masih lagi sebuah estet getah.

"Dia tinggal sebatang kara dan tidak mahu menyusahkan orang lain. Katanya, dia hanya makan roti hasil sumbangan mereka yang tahu dia tinggal di situ," katanya.

Anggota polis dari Balai Polis Wangsa Maju terus mengambil inisiatif memaklumkan keadaan pakcik Muhammad kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan usaha untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa sedang dijalankan

Menurut posting terbaru Facebook Balai Polis Wangsa Maju, Baitulmal MAIWP akan menanggung kos pembinaan rumah pak cik berkenaan setelah dipersetujui beliau untuk dipindahkan.

"Penduduk setempat akan mencari rumah dan kos ditanggung oleh pihak Baitulmal. Terima kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan masyarakat setempat yang prihatin.

"Sokongan dan doa masyarakat yang prihatin dapat mengubah nasib pakcik tua ini di hujung usianya," memetik laman sosial Facebook Balai Polis Wangsa Maju.


0 Response to "Warga Emas Sendirian Dalam Hutan Dikelilingi HUTAN BATU"

Post a Comment