Banyak restoran Cina Muslim sediakan Yee Sang halal


Mencicipi kacang buncis goreng telur masin memang terasa bezanya. Kacang buncis yang manis disaluti telur masin yang ditambah dengan lada sulah dan sedikit tepung ubi membuka selera penulis. Ditambah dengan ayam mongolian dengan rasa lada hitam yang lemak berkrim. Ini antara tiga menu yang mendapat sambutan pelanggan.

Segalanya berlaku selepas Datin Haslinda Sim Abdullah menganut agama Islam pada tahun 1990-an. Ketika itu agak sukar untuk mencari restoran makanan Cina yang halal terutama menjelang Tahun Baharu Cina.

“Ketika itu saya telah mula mencuba memasak pelbagai masakan Cina sehingga saya berjaya membuka sebuah restoran makanan Cina di Sri Petaling. Sebenarnya saya tidak mengikuti pendidikan formal untuk memasak tetapi sebagai anak bongsu, ibu dan ayah sering membawa saya ke mana saja mereka pergi.

“Saya melihat bagaimana mereka menghidangkan makanan serta merasai pelbagai jenis makanan ketika itu dan saya mencuba. Saya mengambil masa yang panjang mencuba pelbagai jenis masakan sebelum membuka restoran. Saya mahu semuanya sempurna dan pelanggan puas hati,” katanya semasa ditemui di Restoran Haslina Sim di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Hasil belajar memasak sendiri, kini Haslinda telah mempunyai dua buah restoran, satu di Bandar Baru Bangi dan sebuah lagi di Bahau, Negeri Sembilan selepas menutup restoran di Sri Petaling kerana terlalu kecil.


Biasanya menurut Haslinda. masyarakat Cina mula menikmati Yee Sang selama sebulan sebelum dan selepas Tahun Baharu Cina. Bercerita tentang Yee Sang, Haslinda berkata, Yee bermakna ikan dan Sang bermaksud hidup. Ramuan Yee Sang terdiri daripada bawang putih, timun, halia, betik, keladi, halia merah, karot, sengkuang, kacang, bijan dan keropok.

“Biasanya semasa dihidangkan, Yee Sang akan ditambah dengan minyak bawang putih dan sos plum. Ramuan Yee Sang boleh dikurangkan atau ditambah mengikut permintaan pelanggan seperti menambah rumpai laut atau ikan salmon dengan harga yang berbeza,” katanya.

Sempena Tahun Baharu Cina, Haslinda memperkenalkan beberapa menu baru seperti yee sang rumpai laut, sup sirip paus dengan isi ketam, ayam kombinasi, ikan kerapu kukus masak asam, Nai Huang udang karang, tiram kering dengan fatt choy dan baby siew pak choy, nasi dimasak dalam daun teratai dan longan bersama kelapa laut.

“Sekarang kami juga menyediakan lebih 70 jenis menu yang terdiri daripada ikan, udang, sotong, ayam, daging, telur, sayur-sayuran serta pelbagai jenis minuman bagi pilihan pelanggan,” katanya.

Restoran yang mempunyai 15 kakitangan dengan tiga orang tukang masak ini sentiasa terbuka menerima pelbagai tempahan utuk pelbagai jenis majlis terutama menjelang Tahun Baharu Cina.






0 Response to "Banyak restoran Cina Muslim sediakan Yee Sang halal"

Post a Comment